BADMINTON Masters Jepun di Kumamoto terus menyaksikan gandingan pilihan tersingkir seorang demi seorang sebelum melangkah ke suku akhir.
Selepas pilihan utama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India bungkus seawal pusingan pertama, kini giliran juara Terbuka Denmark, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditunjuk jalan keluar pada pusingan kedua, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Denmark, tewas mudah kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 16-21, dalam masa 44 minit.
Kekalahan pemain nombor dua dunia itu sekali gus menyaksikan gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjadi wakil tunggal beregu mengibarkan cabaran Malaysia di suku akhir esok.
Yew Sin-Ee Yi bagaimanapun bergelut untuk menewaskan pemain kelayakan dari Thailand, Pharanyu Kaisamaang-Worrapol Thongsanga 14-21, 21-15, 21-15.
Gandingan yang dibimbing Rosman Razak itu akan berdepan Lee Fang Ching-Lee Fang Jen esok.
Sementara itu, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki terhenti, selepas Ng Tze Yong tewas di tangan Viktor Axelsen 22-20, 11-21, 18-21.
Namun nasib lebih baik buat beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang lolos ke suku akhir.
Pearly-Thinaah yang kembali selepas berehat sebulan gara-gara Pearly mengalami kecederaan, tidak berdepan masalah mengetepikan wakil tuan rumah, Rui Hirokami-Yuna Kato dengan kemenangan straight set 21-17, 21-16.
Menanti mereka di suku akhir, satu lagi pasangan Jepun iaitu Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang menyingkir wakil Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui 21-13, 21-11.
Selain Pearly-Thinaah, dua pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya menempah slot ke suku akhir selepas menumpaskan lawan masing-masing.
Kian Meng-Pei Jing mempamerkan aksi bertenaga ketika menewaskan pilihan keenam dari Korea, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-14, 21-17.
Mereka bakal berdepan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir setelah mengatasi rakan senegara, Hoh Soon Huat-Shevon Lai 16-21, 21-13, 21-13, untuk berdepan pilihan pertama China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong esok.