AKADEMI JDT bukan sahaja terkenal kerana menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program akar umbi bola sepak.
Selain itu, Akademi JDT juga adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan sekaligus membuktikan JDT antara pasukan terbaik dalam negara yang mencungkil bakat pemain muda.
Ketua Pencari Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa pula adalah seorang pencari bakat yang sentiasa memantau aktiviti bola sepak akar umbi dan dia tahu pemain mana yang sesuai untuk dibawa ke JDT sekaligus diberikan peluang untuk berlatih di dalam suasana akademi yang lengkap dan selesa.
Terbaharu tular tindakan Griffa yang berjaya menemui bakat dari golongan Orang Asli dan diberikan tawaran ke Akademi JDT membuktikan pencari bakat itu tidak pernah duduk diam dan sanggup meredah ke ceruk kampung untuk mencari bakat-bakat baharu ke JDT.
Sa’ap Baharom, pemain berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan telah memikat hati Griffa apabila dia merangkul gelaran kasut emas selepas meledak 12 gol dalam enam perlawanan ketika Kejohanan Majlis Sukan Selolah Malaysia (MSSM) di Johor.
Benar bakat Sa’ap dikesan di Johor tetapi tindakan Griffa yang sanggup mencari pemain itu di kampung kelahirannya meskipun jauh di pedalaman membuktikan betapa seriusnya dia dalam menilai bakat-bakat baharu bola sepak yang mampu digilap untuk menjadi aset buat kelab dan juga negara.
Griffa bukan sahaja cekap menghidu bakat tetapi Akademi JDT juga pantas melakukan kerja-kerja penawaran tempat di akademi berbanding dengan pasukan tempatan yang mungkin terlebih dahulu mengenalpasti bakat Sa’ap sebelum ini.
Sebelum ini, JDT melakukan perkara yang sama apabila pantas menawarkan Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berumur 13 tahun dari Terengganu selepas dia tular di media sosial apabila dilihat tenang bermain bola meskipun beraksi menentang pemain yang lebih dewasa.
Perkara-perkara seperti inilah yang menjadikan Akademi JDT sangat istimewa kerana bakat-bakat yang dikumpulkan adalah dari kalangan remaja-remaja yang berbakat besar dan sudah dinilai kemahiran mereka oleh professional seperti Griffa.
Selamat maju jaya buat Sa’ap yang akan meluaskan potensinya dalam sukan bola sepak bersama akademi bola sepak terbaik negara.