PEMAIN muda Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim Rosli yakin dia dan rakan-rakan sepasukannya dapat mengadaptasi dengan cepat corak taktikal yang diterapkan oleh pengendali baharu, Nenad Bacina.

Nenad yang dinamakan pengganti Bojan Hodak bukanlah nama asing dikalangan pemain KL City selepas dia menjadi penolong jurulatih kepada Hodak ketika skuad warga kota menjuarai Piala Malaysia 2021 dan menjadi naib juara Piala AFC 2022.

“Selepas selesai hari pertama latihan, pemain-pemain menerima taktikal Nenad dengan baik tetapi pemain baharu yang menyertai KL City perlu lebih cepat mengadaptasi dan bagi saya ianya sama kerana saya pernah beraksi di bawah seliaannya dan dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa saya naik ke skuad utama musim lalu,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Ditanya sama ada dia akan sentiasa mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas ini kerana mendapat kepercayaan Nenad, pemain kebangsaan itu menolak dakwaan itu dan dia menerima apa sahaja keputusan jurulatih untuk kebaikan kelab.

“Sama ada saya akan mendapat lebih minit permainan, itu saya tidak boleh janji kerana itu bergantung pada perkara di dalam padang dan prestasi saya semasa latihan. Jika diberikan peluang untuk masuk dalam kesebelasan utama saya akan ambil peluang itu dan kalau tidak, saya akan berkerja lebih keras untuk merebut tempat,” tegasnya.

Haqimi juga menyatakan pemain sudah mula mempercayai dan menyesuaikan diri dengan taktikal baharu yang menyaksikan mereka menang dua perlawanan berturut-turut dan yakin mampu menewaskan Selangor dalam aksi Derbi Lembah Klang di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Selasa.

“Walaupun baru dua hari menjalani latihan bersama Nenad, saya rasa KL City adalah pasukan yang cepat mengadaptasi dengan taktikal yang baru. Selepas dua perlawanan dengan jurulatih baru, kami boleh bermain dengan taktikal baharu jadi kami yakin dapat raih kemenangan keatas Selangor,” ujarnya.