PENYERANG muda negara, Haqimi Azim Rosli sedar tugas berat menanti dirinya sekiranya dia dipilih untuk mengetuai barisan serangan Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz.
Haqimi berpeluang menjadi penyerang utama selepas skuad kendalian Kim Pan-gon dibelenggu masalah kecederaan dengan Darren Lok, Arif Aiman, Romel Morales, Syafiq Ahmad dan Faisal Halim terpaksa diketepikan.
Walaupun berpeluang diturunkan, namun Haqimi sedar dia masih perlu merebut tempat bersama beberapa lagi pemain dan bersedia membalas kepercayaan yang diberikan Pan-gon sekiranya dia menggalas tugas penting itu.
“Agak sukar juga untuk saya bermain dalam kesebelasan utama kerana saya kena rebut tempat saya dan ianya mencabar tetapi saya kena sesuaikan diri dengan cepat dan berikan yang terbaik pada posisi mana pun yang ditetapkan oleh jurulatih.
“Memang kita kehilangan ramai penyerang tetapi kita ada Paulo Josue dan saya serta ramai lagi yang boleh bermain sebagai penyerang dan sesiapa pun yang diturunkan akan lakukan yang terbaik buat skuad kebangsaan.
“Sekiranya saya yang diletakkan di posisi nombor sembilan itu, saya juga akan lakukan sehabis baik dan buktikan kepada rakyat Malaysia yang saya mampu galas tugas itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.
Tonggak skuad B-23 tahun itu juga mahu semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan skuad ini untuk meraih kemenangan seterusnya membuka laluan mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026
“Tanggungjawab kali ini besar kerana saya sudah lama tidak beraksi untuk skuad senior dan sekiranya pasukan ini layak, saya amat berbangga tetapi apa yang saya harapkan ketika ini adalah doa dan sokongan rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kami di sana.
“Sepanjang seminggu latihan, saya sering diletakkan di posisi nombor tujuh dan sembilan dan Kim Pan-gon mahu pemain mencari gol dan sekiranya saya dapat ulang jaringan di peringkat antarabangsa sudah tentu saya gembira dan akan buat yang terbaik demi negara,” jelasnya.
Malaysia dalam misi wajib menang bagi memastikan peluang ke pusingan ketiga kembali terbuka namun bukan mudah berdepan Republik Kyrgyz di Bishkek yang sudah pasti mahu membalas dendam kekalahan 3-4 di Bukit Jalil, pada November 2023 lalu.