FOTO : Kuala Lumpur City
MUHAMMAD Haqimi Azim Rosli bersedia untuk terus ‘meledak’ bagi memastikan dia terus mendapat panggilan skuad Harimau Malaya.
Selepas pulang daripada tugasan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 Haqimi kemudian terus mencuri perhatian bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.
Meskipun KL City FC tewas 2-3 kepada Kuching City FC dalam perlawanan pusingan 16 pasukan Piala FA 2023-2024 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Jumaat lalu, namun penyerang prospek masa depan negara itu berjaya meledak satu gol.
Bagi Haqimi, dia telah menetapkan sasaran peribadi musim ini di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Tahun ni saya nak minit permainan dengan kelab saya, saya nak jaringkan lebih banyak gol berbanding tahun lepas dan saya nak dapat ‘call up’ dengan pasukan kebangsaan. Saya nak buat yang terbaik untuk dipanggil oleh jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon,” katanya.
Menurut Hakimi, dia berharap dapat menajamkan lagi sentuhan jaringannya selepas berjaya menghasilkan gol pertama musim ini dalam perlawanan menentang Kuching City.
“Tak ada rezeki untuk KL menang, kami sudah buat yang terbaik. Syukur Alhamdulilah saya dapat jaringkan satu gol dalam perlawanan ini, gol itu untuk KL dan untuk diri saya juga sebagai pembakar semangat untuk saya pergi lebih jauh lagi.
“Saya tak berpuas hati dengan permainan saya menentang Kuching City ini sebab saya perlu lebih bekerja keras lagi Insya Allah saya akan buat yang lebih baik,” katanya.