PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menampilkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super 2024/2025 apabila berjaya menundukkan Penang FC dengan kemenangan 4-2 pada Ahad.

Kemasukan Haqimi Azim sebagai pemain gantian menjadi kunci utama kemenangan, dengan dua gol peribadinya memastikan tiga mata penuh buat The City Boys.

Penang FC memulakan perlawanan dengan pantas apabila Adib Raop menjaringkan gol seawal minit kedua. Kelekaan pertahanan KL City memberi ruang kepada Dylan Wenzel-Halls untuk melorongkan bola kepada Adib yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Azri Ghani.

Namun, KL City segera memberi reaksi balas dengan menyamakan kedudukan pada Minit ke-7, kapten pasukan Paulo Josue berjaya menjaringkan gol selepas menerima hantaran cantik Kenny Pallraj.

VAR mengesahkan gol tersebut selepas semakan offside, dan momentum mula memihak kepada pasukan tuan rumah.

Paulo Josue sekali lagi memainkan peranan penting apabila lorongannya kepada Jovan Motika pada minit ke-21 menghasilkan gol kedua buat KL City. Motika bijak melepasi pertahanan Penang dalam situasi 1v1 dengan penjaga gol Sikh Izhan, meletakkan KL City di depan 2-1.

Haqimi , yang dimasukkan pada separuh masa kedua, terus mencuri tumpuan dengan jaringan pertamanya pada minit ke-53 selepas menerima hantaran cantik daripada Paulo Josue. Walaupun gol itu pada mulanya dibatalkan, kemudian VAR mengesahkannya sah, memberi kelebihan 3-1 kepada KL City.

Hakimi kemudian menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-73, hasil gerakan pantas Ryan Lambert yang mencipta peluang menerusi serangan balas. Gol tersebut memastikan KL City mendahului selesa 4-1.

Walaupun Penang FC berjaya merapatkan jurang pada minit ke-81 menerusi tandukan Rodrigo Dias, hasil hantaran Adib Raop, ia tidak cukup untuk menyaingi ketangkasan KL City yang sudah terlalu selesa di hadapan.

Kemenangan ini adalah kemenangan kelima buat KL City musim ini, dan jelas sekali Haqimi Azim menjadi wira perlawanan dengan dua jaringannya yang memberi tonik tambahan kepada pasukan.

Dengan satu gol, dua bantuan gol, Paulo Josue dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM). Prestasi luar biasanya pada petang ini memastikan KL City meraih tiga mata penting, sekaligus melonjakkan pasukan ke 12 mata dalam saingan liga, melepasi Penang yang kekal dengan 9 mata.

Josue kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super 2024/2025 dengan tujuh gol dibelakang penyerang sensasi Johor Darul Takzim, Bergson da Silva yang telah mengumpul 15 gol, dan Ronnie Fernandez dari Selangor FC yang mencatatkan lapan gol.

KL City FC kini berada di kedudukan kelapan liga dengan mengumpul 11 mata selepas 11 perlawanan.