HARAPAN Kontinjen Malaysia untuk melihat emas pertama di Sukan Olimpik menerusi sukan badminton berakhir apabila Lee Zii Jia tewas kepada Kunlavut Vitidsarn 14-21, 15-21 di peringkat separuh akhir perseorangan lelaki.

Dalam aksi 51 minit itu, Zii Jia dilihat banyak melakukan kesilapan dan tidak dapat menyerang Kunlavut dan akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan pemain dari Thailand itu.

Zii Jia yang ditemui selepas perlawanan tetap berbangga dengan dirinya dan kini akan memberikan fokus pada peluang mendapatkan pingat gangsa buat dirinya dan Malaysia pada Isnin.

“Bagi saya ianya bukan penamat dunia kerana esok ada satu lagi perlawanan. Bukan senang untuk sampai ke semi final dan ada peluang untuk merebut gangsa.

“Ramai yang mahukan peluang ini tetapi tidak dapat dan saya berpeluang walaupun terlepas pingat emas atau perak dan saya perlu teruskan fokus untuk bawa pulang pingat gangsa.

“Saya rasa sepanjang kejohanan musuh terbesar saya adalah diri saya. Saya bangga dengan diri sendiri tetapi dalam aksi tadi, Kunlavut bermain sangat baik dan mempunyai tahap keyakinan tinggi.

“Saya tidak putus asa dan beri apa yang saya ada tetapi ini adalah keputusannya dan saya masih berpeluang untuk lakukan yang terbaik bagi merebut pingat gangsa esok,” katanya.

Zii Jia akan bertemu sama ada juara edisi Tokyo 2020, Viktor Axelsen atau pemain India, Lakhsya Sen yang bersaing dalam satu lagi separuh akhir untuk menentukan pingat gangsa.