BEKAS penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar meluahkan rasa sedih dan kecewa atas sikap sebuah kelab bola sepak yang tidak profesional.

Pemain berusia 26 tahun membuat satu kenyataan pada laman X peribadinya, berkaitan tentang isu yang sedang dihadapi.

Kenyataan yang dimuat naik ke laman X peribadi Khatul.

Menurut Khatul kepada FLASH SUKAN, dia sudah menolak tawaran daripada kelab lain yang berminat dengan khidmatnya, demi bersama dengan sebuah kelab yang difahamkan sudah mencapai kata sepakat untuk mengambilnya dalam pasukan.

Namun hari ini, kelab tersebut telah memaklumkan bahawa mereka enggan mengambil Khatul atas dasar ragu-ragu dan risau terhadap status kesihatan dirinya.

Khatul Anuar difahamkan sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan bahu yang ditimpa sejak Ogos lalu.

“Saya cukup sedih dengan sikap mereka yang tidak profesional.

“Saya bahkan sudah melakukan fisioterapi dan rawatan tetap, doktor juga sudah mengesahkan bahawa saya boleh kembali ke padang dan menerima surat yang menyatakan saya sudah pulih sepenuhnya.

“Namun hari ini, kelab itu berkata bahawa mereka risau untuk mengambil saya kerana takut kecederaan akan berlaku lagi.

Khatul bersama bekas pasukannya, Penang FC.

“Kalau mereka lebih jujur dari awal, saya tidak akan terasa,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, kontrak penjaga gol tersebut bersama Penang FC sudah tamat pada November lalu dan Khatul menegaskan bahawa dirinya masih terbuka untuk menunggu tawaran daripada kelab lain buat masa ini.

Terdapat juga ura-ura yang menyatakan sebelum ini bahawa Khatul akan kembali bersama kelab kelahirannya, Kedah Darul Aman FC, namun kini, sebarang keputusan rasmi masih belum dinyatakan daripadanya.