ATLET powerlifting negara Jong Yee Khie bakal menjadi wakil terakhir negara beraksi di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024 sebelum tirai rasmi ditutup pada Ahad malam.
Dengan pencapaian dua emas, dua perak dan satu gangsa setakat ini, Yee Khie bakal menjadi tumpuan sama ada jumlah pingat yang sedia ada itu akan bertambah atau sebaliknya.
Aksi Yee Khie atlet berusia 35 tahun kelahiran Sarawak ini sudah pasti menjadi tumpuan malah tanpa keraguan dia mampu memberi sesuatu buat kontinjen negara.
Ketua kontinjen negara (CDM) Datuk R. Subramaniam berkata, Yee Khie sudah membuktikan penampilannya di Tokyo 2020, dengan membuat kejutan.
“Empat tahun lalu dia merangkul pingat perak dalam acara ini dan saya yakin sekali lagi Yee Khie boleh membuat kejutan berdasarkan prestasi baik semasa. Malah dia juga telah menjalani latihan baik.
“Jangkaan saya peluang untuk dapatkan pingat itu cerah. Namun kalau dia mampu raih emas, ia adalah bonus buat kita,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Kelibat Yee Khie dalam temasya besar dua tahun kebelakangan ini agak perlahan selepas dia mengalami kecederaan yang memaksa dia menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022.
Namun sejak tahun lalu dia kembali pulih dan telah menyertai Kejohanan Para Dunia di Dubai dan beberapa persediaan lain.
Yee Khie akan turun beraksi pada Ahad, pukul 3 petang (waktu tempatan).