HARAPAN pingat pertama dari Wong Weng Son tidak kesampaian apabila bekas naib juara dunia 2019 itu menamatkan saingan acara Changquan di kedudukan kedua corot.

Beraksi di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, Weng Son atlet kesembilan turun ke gelanggang hanya mampu meraih 9.000 mata sekali gus gagal menarik perhatian juri.

“Mungkin pada tahap kesukaran 720 yang saya lakukan tidak sampai, tapi semuanya saya perlu lihat semula rakaman video.

“Saya rasa dari situ mungkin juri tidak dapat beri markah penuh… tapi saya sudah buat yang terbaik dan tak melakukan kesilapan, namun saya tidak kecewa kerana sudah memberikan yang terbaik,” kata Weng Son, selepas beraksi.

Wong Weng Son ketika beraksi dalam acara Changquan lelaki di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bagaimanapun, pada usia 31 tahun, Weng Son mengakui dia mahu menyumbang pingat kepada kontinjen negara namun tidak tercapai.

“Saya tetap mahu berjuang untuk negara tapi malangnya tidak berjaya, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan harap atlet lain dapat menyumbang pingat,” katanya.

Pada acara itu, atlet China, Sun Peiyuan meraih pingat emas selepas meraih 9.840 mata.

Wakil tuan rumah yang juga juara dunia 2015 dalam acara Changquan, menewaskan juara dunia 2019 dari Indonesia, Edgar Xavier Marvelo utnuk pingat perak (9.786 mata) manakala Song Chi Kuan dari Macau, gangsa (9.760 mata).

Ketidaksempurnaan ketika melakukan darjah kesukaran 720 mungkin menjadi punca mata rendah diperoleh Wong Weng Son, selepas gagal memikat hati juri.

Weng Son berasal dari Seremban memberi bayangan mungkin tahun ini menjadi yang terakhir buatnya namun mahu terus mengharumkan nama negara di Sukan Tempur Dunia di Riyadh, Arab Saudi pada Oktober dan Kejohanan Dunia di Texas, Amerika Syarikat (November).

Pada temasya Sukan Sea Kemboja April lalu, Weng Son meraih pingat gangsa dalam acara Changquan.