PERUBAHAN format perlumbaan MotoGP bermula musim 2023 ini bakal menyaksikan penyokong yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang bakal menikmati perlumbaan tambahan dengan perlumbaan ‘Sprint’ pada Sabtu.

Apa yang menarik, penganjur perlumbaan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengekalkan harga tiket yang ditawarkan dan para penonton kini boleh mendapatkan tiket ‘early bird’ yang menawarkan potongan harga istimewa sehingga 31 Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif nyata gembira dengan perkembangan ini dan dia berharap tambahan perlumbaan ini akan memberikan lebih nilai kepada penonton yang hadir.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif 

Dia turut menjelaskan sebab mengapa Litar Sepang masih menjadi pilihan pelumba dan pasukan untuk melakukan ‘winter testing’ selain turut mengakui bahawa litar akan menjalani sedikit penambahbaikan dengan kerja-kerja akan dijalankan pada bulan Ramadan.

“Tahun ini ada perlumbaan ‘Sprint Race’ pada Sabtu dan ini tentunya akan meningkatkan lagi pengalaman menonton buat para penyokong yang hadir selain menambah nilai buat mereka dan kami di SIC sangat gembira dengan perkembangan ini dan berharap cuaca baik sepanjang perlumbaan itu nanti.

“‘Dorna sangat selesa dengan Sepang kerana ianya selesa dan mudah bagi bahagian logistik untuk bergerak membawa barangan kerana kedudukan litar yang berada di sebelah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Tambahan pula Litar Sepang mempunyai dua bahagian yang mempunyai karektoristik yang berbeza dengan litar bahagian utara sesuai untuk menguji kelajuan jentera manakala litar bahagian selatan pula boleh digunakan untuk menguji bahagian teknikal jentera,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pasaran pengguna motosikal yang besar di Asia Tenggara juga menjadi sebab utama Sepang dipilih sebagai lokasi ujian walaupun mempunyai jarak yang jauh dari Eropah dan kini semakin mendapat saingan daripada litar-litar di Timur Tengah.

Hasilnya kini Asia Tenggara mempunyai tiga perlumbaan MotoGP dengan Sepang, Mandalika di Indonesia dan Buriram di Thailand masing-masing mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri.

Sepang MotoGP Winter Testing bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Februari 2023 dengan setiap pasukan dan pelumba cuba untuk mendapatkan keserasian dengan jentera dan ‘setting’ terbaik sebelum musim bermula sepenuhnya dengan Grand Prix Portugal membuka tirai pada 27 Mac 2023.