DAPAT mewakili negara itu satu penghormatan dan bukan semua orang dapat menikmati peluang itu.

Demikian respon Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria Zakaria, menjawab kepada persoalan mengenai kemungkinan barisan pemain yang akan mewakili negara ke kempen Piala Thomas 2024.

Ketika ini, Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang diketuai Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky, bagaikan buntu untuk menamakan pemain ke kejohanan badminton berpasukan paling berprestij dunia di Chengdu, China (27 April – 5 Mei) itu.

Tan Sri Dato Sri (Dr) Mohammad Norza Zakaria, Presiden BAM mahu pemain mengautamakan semangat patriotisme terutamanya pada kejohanan berpasukan. |FOTO Akma/Flash Sukan

Dengan keadaan Ng Tze Yong yang masih bergelut dengan pemulihan kecederaan belakang dan tahap kecergasan, perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pula sudah merangka program latihan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya nak kata begini… tak ramai orang dapat peluang mewakili negara. Kalau di negara lain, orang akan bermati-matian mewakili negara untuk berjuang demi negara. Jasa dan sumbangan kamu kepada negara akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Itu tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Jadi saya harap, kita akan ada pasukan yang kuat. Kita boleh lihat (prestasi) kita di BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia), kita bariskan pasukan terbaik dan dapat bermain di final (walaupun bukan pasukan terbaik).

“Kita di landasan tepat kalau kita ada pemain yang betul dan ingin berjuang untuk negara,” kata Norza, menjawab pertanyaan media mengenai kemungkinan semangat patriotisme sebagai kriteria utama dalam memilih pemain ke Piala Thomas, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM ke-79 di ABM.

Ketika ini, kem perseorangan negara bergelut untuk menamakan pemain terbaik selepas Tze Yong belum pulih dan pastinya memerlukan masa untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

Malah status penyertaan Zii Jia turut menimbulkan persoalan selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky memaklumkan pemain ranking ke-11 dunia itu masih belum pasti mewakili negara pada kejohanan itu.

“Saya rasa semua yang berada di kelompok ranking tertinggi ingin dan mahu bersama-sama dengan pasukan ini. Tak kisah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao atau sesiapapun. Saya fikir mereka semua mahu berada dalam pasukan.

Berita baik untuk persatuan negeri yang aktif melahirkan bakat di peringkat akar umbi, geran tambahan berupa bonus akan ditambah mengikut prestasi persatuan.|FOTO Akma/Flash Sukan

“Kita mahu pasukan berkualiti yang dihantar kerana pasukan berkualiti itu juga melambangkan maruah kita. Apabila kita pergi seorang, itu maruah untuk seorang. Tapi bila kamu pergi sebagai sebuah pasukan, itu maruah negara kita. Lambang negara kita, kita kena pelihara kerana itu adalah tanggungjawab kita bersama,” kata Norza.

Dalam pada itu, Norza memaklumkan bahawa BAM mengambil langkah proaktif menggalakkan pertumbuhan pemain akar umbi apabila mengumumkan penambahan nilai geran kepada persatuan badminton negeri mengikut prestasi pemain.

Pada kempen Piala Thomas 2024, Malaysia berada dalam kumpulan D bersama pilihan ¾ Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Menurutnya, sebelum ini, persatuan negeri yang bernaung di bawah badan induk itu menerima geran sekitar RM300,000 hingga RM 450,000.

“Kita memahami ada negeri yang menghabiskan wang dan usaha melahirkan pemain muda berbanding negeri lain.

“Contohnya, ada persatuan negeri yang sebelum ini menerima geran RM300,000 dan belum menggunakannya… melalui prestasi dan keterlibatan secara aktif melahirkan pemain, mereka akan menerima geran tambahan.”