PERSATUAN  Bolasepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan Hari Bola Sepak Akar Umbi AFC 2023  di Padang Wisma FAM, Sabtu.

Program kerjasama yang Ke-10 tahun antara FAM-AFC telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Menurut beliau, program seperti ini secara tidak langsung menjadi satu platform yang baik untuk mencungkil bakat-bakat pemain muda yang ada di negara ini.

“Hari ini program Hari Akar UMBI AFC 2023 telah menyambut ulang tahun ke-10 sekaligus membuktikan FAM sentiasa mementingkan pembangunan khususnya di peringkat pemain muda.

“Sudah pasti FAM dengan kerjasama AFC akan meneruskan program positif ini di mana FAM percaya negara tidak akan ketandusan pemain-pemain di peringkat usia 7 hingga 12 tahun demi perkembangan semasa mereka,” katanya kepada media.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman juga menggesa kepada persatuan bola sepak negeri atau setiap kelab untuk mengadakan program melibatkan akar umbi sebagai usaha untuk mencari bakat-bakat anak muda yang boleh di latih.

“Saya menggesa kepada semua persatuan negeri dan kepada kelab-kelab untuk menjalankan program akar umbi untuk kita mencari bakat-bakat baru.

“Saya berharap program ini akan menjadi satu permulaan baharu buat pemain-pemain muda yang saya percaya Hari Akar Umbi AFC 2023 bakal menjadi landasan terbaik buat merek demi menjadi pemain bola sepak negara satu hari nanti,” ujarnya.