PENYERANG sensasi negara, Safawi Rasid masih belum berpuas hati dengan prestasi sebenar yang dipamerkan pada pertemuan dengan Turkmenistan pada aksi pertama Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu membuatkan sorakan di stadium bergema selepas menjaringkan gol pertama seawal minit ke-11 perlawanan sekaligus menyaksikan dia masih mempunyai sentuhan berbisa.
Pemain kelahiran Dungun berusia 25 tahun ini mengakui perasaan ingin jaringkan gol sentiasa membuak-buak walaupun kadangkala gagal mencipta sebarang jaringan.
“Saya berbangga dengan pasukan dan penyokong yang hadir. Jadi, saya rasa ini permulaan yang baik, jadi saya akan teruskan untuk perlawanan seterusnya.
“Kita akan teruskan untuk perlawanan seterusnya tetapi kita tidak boleh lalai. Salah satu moral untuk kita perbaiki apa yang kita lemah.
“Kita just ikut apa yang jurulatih mahukan. Hari ini kita menang mungkin orang sanjung, lepas ini kita kalah mungkin orang kutuk.
“Saya akan bagi yang terbaik dan ikuti taktikal jurulatih. Kita akan tengok video apa yang kita lemah, saya tak berpuas hati sebab bola kadang-kadang masuk kadang tak masuk,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Safawi juga turut terharu dan teruja dengan sokongan ‘Pemain ke-12’ yang sentiasa berada di belakang pasukan negara.
“Ini permulaan yang baik untuk perlawanan pertama. Kami akan cuba yang terbaik untuk next bertemu Bahrain.
“Kita perbaiki apa yang lemah,” tambahnya.
Jaringan Safawi dalam perlawanan ini telah meletakkan dia menyamai rekod bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali dengan menjaringkan gol berdepan 12 lawan berbeza.