PROGRAM Hari Olimpik Malaysia 2024 yang akan diadakan pada 23 Jun ini akan dibuat secara skala besar-besaran berbanding sebelum ini.

Ini berikutan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan dianjurkan juga dalam masa beberapa minggu yang akan datang iaitu pada 26 Julai ini.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, program ini merupakan salah satu cara untuk mengingatkan rakyat Malaysia terhadap temasya sukan yang termasyhur itu.

Setiap tahun pada 23 Jun merupakan Hari Olimpik Sedunia dan pada tahun ini kita akan mengadakan Hari Olimpik Sedunia secara besar-besaran kerana ia bertepatan dengan Paris 2024.

“Kita akan mengadakan satu program besar-besaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dimana pada hari itu kita akan mengadakan larian dan juga memperkenalkan Tabung Pendidikan MOM dimana ia mampu memberikan peluang kepada atlet-atlet muda kita untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan seterusnya.

“Itu antara intipati program tersebut namun apa yang lebih penting ialah ini adalah cara untuk kita mengingatkan serta memberi kesedaran terhadap Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan menjelang tiba dan kita mahu rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada atlet-atlet kita,” katanya kepada media selepas Majlis Kira Detik 50 Hari Menjelang Temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Hari Olimpik Malaysia yang diadakan pada tahun lepas di Sekolah Sukan Bukit Jalil. (Sumber Gambar: MOM)

Selalunya kita mengadakan program ini secara skala kecil, sebelum ini kita pernah mengadakan Hari Olimpik Malaysia di Pulau Pinang dan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) namun tetapi tahun ini kita mengadakan secara besar-besaran dan ia lebih bermakna lagi kerana bersamaan dengan sambutan kita untuk Paris 2024,” tambahnya lagi.

Hari Olimpik Malaysia merupakan anjuran MyCreative Moments dengan kerjasama MOM akan diadakan di dua tempat iaitu di The Exchange TRX pada 21-23 Jun 2024 dan di UPSI, Tanjung Malim pada 23 Jun ini.