SAMBUTAN syawal tahun ini mungkin tidak meriah seperti tahun-tahun sebelumnya, namun bagi legenda berbasikal negara, Rosman Alwi, cukuplah baginya menggembirakan ibunya, Norli Nor Amin.
Menurut Rosman, ibunya kembali diserang kanser pundi kencing sejak tahun lalu, biarpun disahkan sudah bebas dari kanser terbabit kira-kira enam tahun sebelumnya, menjadikan dirinya satu-satu tempat untuk ibunya yang berusia 80 tahun bergantung hidup.
“Untuk saya, tiada persiapan raya tahun ini, mungkin anak-anak sajalah lakukan persiapan kerana masing-masing sudah berkeluarga.
“Saya pula hanya mahu ada bersama Mak saya, dia sudah tidak punya sesiapa kerana kembali menghidap kanser pundi kencing tahap 4,” kata Rosman, mengulas mengenai suasana Hari Raya Aildilfitri.
Menurut Rosman, 62, ibunya mempunyai enam beradik namun tiga ibu dan bapa saudaranya itu sudah meninggal dunia, begitu juga dengan dirinya, lima bersaudara namun empat adik-adiknya semua telah kembali kepada Sang Pencipta, membuatkan tanggungjawab menjaga ibu, menjadi miliknya seorang.
“Sepanjang Ramadan juga saya mengerjakan ibadah di rumah sahaja, bersama ahli keluarga, begitu juga bertadarus dan khatam al-Quran.
“Kalau diikutkan memang rasa sayu, tiada lagi ibu dan bapa saudara, tiada lagi adik beradik.
“Bertambah sedih lagi apabila sahabat yang rapat juga dengan saya, Mohd Khalid Ali juga telah meninggal dunia… sedih juga, dia rapat dengan saya, Datuk Malek Noor dan beberapa orang lagi.
“Setiap kali hadir ke majlis Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) kami akan bersembang, tapi kali ini masih dapat rasakan seperti dia hadir.”
Dalam menjaga ibunya, Rosman juga tidak berada pada tahap kesihatan yang baik.
Begitupun, Rosman yang dua kali beraksi di Sukan Olimpik 1984 dan 1988 tidak lokek berkongsi pengalamannya berhari raya sebagai atlet.
Menurutnya, beliau sering berpuasa dan berhari raya di luar negara baik sebagai atlet berbasikal mahupun jurulatih.
Namun, paling manis dan menggembirakannya adalah ketika menjadi jurulatih: “Waktu saya menjadi jurulatih membawa batch pertama pasukan berbasikal trek menjalani latihan di Australia, waktu itu sangat meriah.
“Pada waktu itu, saya melatih pelumba seperti Rizal Tisin, Junaidi Mohd Nasir, Fairoz Izni dan beberapa pelumba lain.
“Sayalah tukang masak rendang, anyam ketupat, buat nasi impit, nasi kunig orang lain buat, lepas tu di pagi hari raya, kita jemput jiran-jiran ‘mat saleh’ bertandang makan-makan.
“Kami juga berkumpul melaungkan takbir di malam hari raya,” ujar Rosman, sambil tersenyum mengenangkan kenangan manis bergelar jurulatih.
Pencapaian Rosman Alwi
1983 Kejohanan Berbasikal Asia – Gangsa
1984 Sukan Olimpik – Ujian Masa 1km
Sukan Olimpik – Pecut
1985 Sukan Sea – Emas
1987 Sukan Sea – Emas
1997 Sukan Sea – Emas