SYOR merombak jadual perlawanan Liga Malaysia pada waktu siang mendapat reaksi positif daripada Raja Isa Raja Akram Shah.
Menurut jurulatih antarabangsa Malaysia itu yang kini membimbing kelab Liga Perdana 1 di Bangladesh, banyak perkara baik boleh diambil dan dimanfaatkan kepada pasukan yang bertanding nanti.
“Pandangan saya sama seperti TMJ cuma lebih menarik dijalankan serentak pada hari Sabtu dan minggu (Jumaat / Sabtu) bagi negeri tertentu di peringkat semua level seperti Liga Super, Liga Premier dan kelolaan Malaysian Football League.
“Ini akan mencetuskan suasana positif buat masyarakat Malaysia.
“Sokongan buat bola sepak akan berkembang menjadi sebahagian agenda penting untuk semua keluarga di Malaysia” katanya ketika diminta mengulas syor pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Jika cadangan ini diterima, maka pecinta bola sepak akan dapat menyaksikan aksi pemain kesayangan mereka bermain di siang hari dan membawa suasana seperti di Eropah yang lebih baik dan jelas.
“Saya sebagai jurulatih profesional sudah melalui suasana bermain sebelah petang di Indonesia dan Bangladesh. Asalkan good planning dan timing.
“InshaAllah, peminat dan keluarga akan penuhkan stadium termasuk membawa sanak saudara menonton perlawanan liga kita,” ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor.
Namun begitu, jelas Raja Isa pokok asasnya terserah kembali kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang disifatkannya lebih arif dan lebih tahu apa yang terbaik khususnya peminat dan penyokong bola sepak negara.
Cadangan ini bukan sesuatu meremehkan kerana era liga amatur kita awal 1990-an pernah melibatkan saingan di sebelah petang dan kehadiran penyokong ke stadium juga membanggakan pada ketika itu.
Malah, kempen Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia turut dijadualkan berlangsung pada waktu siang.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membayangkan kesediaan untuk merombak jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada waktu siang seperti yang dicadangkan Tunku Ismail.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam menjelaskan cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu namun dia mengakui aksi pada sebelah petang bakal mampu memberi perkembangan positif kepada arena bola sepak tempatan.