TONGGAK Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal menyuntik semangat buat pasukannya apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua pada aksi Liga Super 2024-25 yang berlangsung Stadium MBPJ, Sabtu.
Gol pembukaan yang diraih telah meningkatkan motivasi skuad kendalian Nidzam Jamil untuk terus mengekalkan rekod bersih di laman sendiri sekali gus menundukkan Penang FC 4-1.
Pada 30 minit pertama perlawanan, Selangor FC tampil dengan corak lebih agresif dan berhasil mendominasi permainan. Mungkin disebabkan aura jaringan pertama oleh Mukhairi masih mencanak, mereka menagih gol kedua buat pasukan.
Namun selepas beberapa kali cubaan yang dilakukan sebelum tamat babak pertama, The Red Giants tidak berjaya mencuri peluang untuk gol seterusnya di MBPJ, sama juga dengan Penang FC yang belum berhasil membuat sebarang jaringan.
Bersambung babak kedua perlawanan, saingan lebih sengit antara kedua-dua belah pasukan. Dengan satu kesilapan yang dilakukan oleh pemain Selangor FC, ia memberi peluang Penang FC untuk melakukan sepakan penalti.
Rafael Vitor selaku kapten pasukan telah berjaya menyempurnakan hadiah sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil pada minit ke-62 perlawanan sekali gus menyamakan jaringan dengan Selangor FC.
Kurang sepuluh minit dari jaringan Penang FC, skuad Gergasi Merah pula yang diberikan sepakan penalti percuma dan digayakan dengan kemas oleh Yohandry Orozco pada minit ke-70 perlawanan.
Sebanyak 8,965 penyokong yang hadir terus bersorak dan memeriahkan segenap ruang stadium setelah sepakan percuma yang diambil oleh Alvin Fortes pada minit ke-88 terus meluru masuk ke pintu gawang Penang FC.
Keputusan 4-1 berakhir di gelanggang The Red Giants, menyaksikan penambahan gol pada minit akhir menerusi Quentin Cheng sejurus membuktikan pasukan tuan rumah itu berjaya mempertahankan kemenangan keempat Liga Super di laman sendiri musim ini.