KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berjanji akan berusaha meraih tiga mata penuh dan menghadiahkannya kepada penyokong Malaysia, Muhammad Ridzwan Erman Effendi yang cacat penglihatan.
Kisah Ridzwan yang viral di tanah air, terdahulu hadir ke hotel penginapan pasukan bersama abangnya, Raff Iskandar berpeluang bertemu pemain pujaannya termasuk Pan-gon.
Biarpun singkat, pertemuan itu penuh bermakna apabila jurulatih negara kelahiran Korea Selatan itu sempat berbual mesra dengan Ridzwan, dan terharu dengan sokongan luar biass ditunjukkan sehingga sanggup hadir ke Doha.
“Kami akan cuba sebaik mungkin dan beri kegembiraan kepada penyokong. Kami akan cuba berusaha dan kami akan berjuang demi anda (Kim Pan-gon).
“Saya tahu anda juga berjuang (berkorban hadir ke Doha) untuk kami, dan kami juga akan berjuang untuk anda,” katanya.
Menurut Pan-gon, pasukan negara akan cuba sedaya upaya tidak menghampakan Ridzwan dan peminat bola sepak yang lain apabila turun menentang Bahrain dalam saingan Piala Asia di Stadium Jassim Bin Hamad, pada Sabtu.
Sementara itu, kata Ridzwan yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu, meskipun dirinya tidak dapat melihat seperti manusia normal lain ia tidak mematahkan semangatnya untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya di Piala Asia ini.
“Orang datang ke stadium nak tengok Malaysia menang, tapi saya nak dengar Malaysia menang!,” kata Ridzwan.