DUA perlawanan besar menentang pasukan dalam ranking Top 100 dunia membuktikan cita-cita besar Harimau Malaya dilaksanakan dengan baik.
Perlawanan yang diatur pada jendela aksi antarabangsa September depan itu bakal menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon berdepan China yang kini di ranking ke-80 dunia selain Mesir di kedudukan ke-34 dunia yang masih di peringkat perbincangan.
Mengesahkan situasi berkenaan, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed berkata, walaupun melihat situasi berkenaan bagaikan langit dan bumi namun perlawanan persahabatan menentang pasukan yang berada di ranking lebih baik mampu meningkatkan lagi keupayaan skuad kebangsaan sebagai persediaan mengharungi kejohanan Piala Asia.
China boleh dikatakan ketika ini sudah mengesahkan akan bertemu Harimau Malaya namun Mesir pula dalam perbincangan lanjut.
“Kita mahu mencari venue bersesuaian untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu di luar negara supaya mudah untuk kedua-dua pasukan itu datang kelak,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Perlawanan Piala Agong & Pertandingan Piala Emas Raja-Raja Tahun 2023 Serta Mesyuarat Tahunan Ke-66 Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM).
Sebelum ini, media melaporkan Harimau Malaya berpeluang menguji kekuatan berdepan juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika pada jendela aksi perlawanan antarabangsa Fifa, September ini.
Peluang itu menyaksikan anak buah Kim Pan-gon bakal menimba pengalaman berharga apabila beraksi menentang pasukan dalam kelompok 35 terbaik dunia yang diketuai bintang sensasi kelab Liverpool Mohamed Salah.
Sepanjang tahun ini, Harimau Malaya mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu, bulan lalu.
Skuad bimbingan Pan-gon turut dijadual berentap bersama tiga negara iaitu Palestin.