HARIMAU Malaya bangkit dari ketinggalan untuk menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Rabu malam.

Malaysia yang mula menguji benteng pasukan lawan menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-10 bagaimanapun dikejutkan gol pembukaan pelawat hanya seminit berselang.

Kegopohan Ahmad Syihan Hazmi keluar dari kawasannya dihukum Muhammad Ali Mekawir yang menggelecek penjaga gol negara itu sebelum lorongannya mudah ditolak masuk Raphael Lea’i.

Ketinggalan satu gol, Malaysia menambah tekanan melalui rembatan Paulo Josue yang mendada bola hantaran Corbin Ong malangnya ditepis keluar minit ke-24.

Pemain KL City itu bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang terhidang minit ke-40 setelah menyambar bola muntah di depan pintu gol berpunca umpanan Matthew Davies dari sebelah kanan.

Pemain sayap, Arif Aiman Hanapi kemudian menceriakan lebih 12,000 ‘ekor’ Harimau Malaya hasil sepakan penalti gara-gara kekasaran keatasnya dalam masa tambahan separuh masa.

Memasuki babak kedua, Malaysia terus gagah mendominasi permainan menyaksikan percubaan Arif Aiman, Josue dan tandukan Wilkin dalam tempoh lima minit gagal menemui sasaran.

Pemain gantian, Lee Tuck dan Safawi Rasid selepas itu bergandingan untuk gol ketiga apabila pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu bijak melepaskan voli dari dalam kotak penalti minit ke-77.

Memasuki masa tambahan 90 minit, giliran Tuck muncul pencetak jaringan hasil sepakan leret sekaligus memastikan kemenangan 4-1 negara ke atas lawan di ranking 134 dunia itu.