KEADAAN cuaca panas terik di Padang Latihan Universiti Qatar antara senario sesi latihan dihadapi skuad Harimau Malaya pada Isnin.
Ini kali pertama anak buah Kim Pan-gon turun menjalani latihan di bawah terik matahari tepat jam 12.30 tengah hari waktu Qatar hari ini.
Memang menjadi kebiasaan setiap pasukan bertanding akan menukar waktu masa latihan bagi membiasakan dengan cuaca terutamanya Malaysia bagi menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Korea Selatan yang dijadual berlangsung jam 2.30 petang.
Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon menjalani latihan di sebelah petang dan malam sejak tiba di Doha pada 1 Januari lalu.
Tinjauan media Malaysia mendapati 10 pemain yang beraksi ketika tewas kepada Bahrain tidak menyertai sesi latihan di padang Universiti Qatar, sebentar tadi.
Sebaliknya pemain berkenaan difahamkan menjalani latihan pemulihan yang berasingan daripada 16 tonggak lain di atas padang.
10 pemain itu adalah Natxo Insa, Stuart Wilkin, Dominic Tan, Matthew Davies, Corbin Ong, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Dion Cools, Shahrul Saad dan Paulo Josue.
Malaysia yang tidak lagi layak daripada persaingan akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan Korea Selatan, Khamis ini.