TANPA kehadiran kapten pasukan Dion Cools, Harimau Malaya bakal menghadapi ujian besar apabila bertemu New Zealand dalam perlawanan persahabatan pada 14 Oktober ini.

Namun, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, tidak melihat ketiadaan Cools sebagai satu kelemahan, sebaliknya yakin pasukannya tetap ampuh dengan barisan pemain lain yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin di atas padang.

Menurut Marti, beberapa pemain seperti Matthew Davies dan Syamer Kutty Abba sudah bersedia mengambil peranan kapten, sekali gus menegaskan kekuatan Harimau Malaya bukan terletak kepada individu, tetapi kepada kerja berkumpulan.

“Kita ialah pasukan yang kuat, dan mana-mana pemain yang tiada, kita ada ramai lagi yang berkualiti untuk menggantikan peranan tersebut,” katanya.

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti 

Berdepan New Zealand, yang lebih dikenali dengan julukan ‘All Whites’, adalah satu peluang keemasan bagi Harimau Malaya untuk menguji keserasian pasukan, terutamanya dengan penyertaan muka baharu dalam skuad.

Dia menegaskan bahawa perlawanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk menambah minit permainan, tetapi juga sebagai persiapan terbaik menjelang Kejohanan ASEAN 2024 yang akan berlangsung Disember nanti.

“Semakin kuat lawan yang kita hadapi, semakin bagus persiapan kita. New Zealand adalah negara yang sukar dan pasukan mereka memang kuat. Ini ujian yang baik untuk kita sebelum kejohanan besar akan datang,” jelas Marti lagi.

Ia merupakan pertemuan pertama Malaysia dan New Zealand dalam hampir 20 tahun. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun 2006, di mana Harimau Malaya tewas 1-0 di Christchurch dan 2-1 di Auckland.

Marti yakin bahawa pengalaman ini akan memberi keyakinan kepada skuadnya untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan bahawa Cools tidak akan menyertai perlawanan tersebut kerana urusan keluarga. Namun, Paul Marti menegaskan bahawa pasukannya tidak bergantung pada seorang pemain sahaja.

“Ia lebih kepada kerja berkumpulan, dan setiap pemain mesti berasa penting. Kita akan berdepan pasukan dengan ranking lebih tinggi, dan ini perlawanan penting bagi kita,” katanya lagi.