PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) percaya skuad Harimau Malaya mampu berada pada kedudukan ke-120 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada penghujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kedudukan itu hanya akan dapat dicapai sekiranya segala perancangan terbaik dapat dilakukan dan kemenangan memihak kepada skuad kebangsaan dan selaras dengan misi F:30 FAM.

Hamidin juga menjelaskan bahawa impian untuk melihat ranking Harimau Malaya melonjak memang menjadi keinginan badan induk itu dan mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki ranking skuad kendalian Kim Pan-gon.

“Kalau kita boleh menang dua perlawanan pada Jun di tempat sendiri dan pada September di tempat lawan, kita boleh mendapat pencapaian terbaik selain pada Oktober, saya lihat ranking kita mungkin boleh naik lagi.

“Namun ianya berdasarkan kejayaan pasukan dan taktikal yang kita nak buat untuk berdepan pasukan mana yang kita nak berjumpa. Peluang itu ada untuk naik ranking dan Kelayakan Piala Dunia pada November menyediakan mata paling banyak.

“Jadi kalau proses ini berjalan sampai November dan kejayaan banyak memihak kepada pasukan Malaysia, kita mungkin naik ke-120 atau lebih sedikit,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa FAM di Wisma FAM pada Jumaat.

Malaysia kini berada di kedudukan 138 dunia, ranking terbaik Harimau Malaya dalam beberapa tahun kebelakangan susulan kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.

Malaysia pernah berada di ranking ke-178 dunia, ranking terburuk pada 2018 dan Hamidin menganggap peningkatan hampir 40 anak tangga yang diraih dalam tempoh lebih empat tahun adalah hasil sokongan daripada semua pihak.

Hamidin juga menjelaskan pihaknya bersama Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon dan Pengarah Teknikal, Scott O’Donell akan melihat perancangan terbaik untuk terus menaikkan ranking Harimau Malaya termasuk pasukan mana yang patut ditentang.