MENJELANG aksi terakhir mendebarkan peringkat Kumpulan B Piala AFF antara skuad Harimau Malaya menentang Singapura esok, pasukan kebangsaan turun dengan karakter positif dan bersemangat dalam sesi latihan yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.

Skuad Harimau Malaya dilihat lebih yakin kali ini dengan kesemua pemain dilihat tidak berdepan isu kecederaan termasuk Ahmad Khuzaimi Piee yang kembali menjalani sesi latihan.

Begitu juga kelibat pemain muda Harimau Malaya, Azam Azmi Murad yang berdepan kontroversi apabila menerima kad merah daripada pengadil Jepun, Ryuji Sato pada aksi menentang Vietnam sebelum ini turut kelihatan mengukir senyuman semasa sesi latihan berlangsung.

Pasukan kebangsaan memulakan sesi latihan pemanas badan secara ‘indoor’ terlebih dahulu.

Tinjauan FLASH SUKAN mendapati semasa sesi latihan dalaman dilakukan, kelihatan Faisal Halim, Fazly Mazlan , Haqimi Azim Rosli, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nor Hakim Hassan dan Sharul Nazeem Zulpakar gigih melakukan senaman ringan menerusi basikal statik.

Semasa sesi latihan di padang, pemain memulakan latihan dengan dibahagikan kepada dua kumpulan melakukan short pass.

Kim Pan-gon juga dilihat tenang dalam menerapkan arahan kepada para pemain yang diturunkan di dalam padang.

Kombinasi tiga watak utama juga antara yang mencuri perhatian apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman serta Penolong Pengurus Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dilihat sedang berbincang sesuatu menjelang aksi hangat pada Selasa.

Segala-galanya terletak di bahu skuad Harimau Malaya dalam aksi terakhir malam esok dalam menentukan sama ada Malaysia berjaya mara ke separuh akhir atau mengulangi rekod edisi lalu apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Selain itu, penyokong juga diharapkan dapat hadir dengan semboyan terhebat pada malam esok kerana skuad kebangsaan sudah menjanjikan akan bermain mati-matian demi lencana di dada serta terus memartabatkan bola sepak negara di mata dunia.