FOTO : FAM
SKUAD Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila berjaya mencuri satu mata ketika seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dalam perlawanan kelima Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebentar tadi.
Krisis serangan mengakibatkan percaturan berani Kim Pan-gon membuat enam pertukaran menggandingkan Paulo Josue serta Endrick Dos Santos untuk membantu Akhyar Rashid serta Dion Cools di posisi sayap di dalam kesebelasan utama.
10 minit pertama tiada ancaman kedua-dua pasukan dan masing-masing mengamalkan corak berhati-hati atas permukaan padang yang tidak memuaskan.
Percubaan Endrick m-20 untuk dapatkan jaringan pertama bersama skuad kebangsaan gagal apabila tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah.
Kelekaan benteng pertahanan tengah punca gawang diawasi Azri Ghani dihukum menerusi gol Gulzhigit Alykulov m-24 selepas menerima hantaran cantik dari luar kawanan kotak penalti.
Moral pemain Kim Pan-gon tidak mengalah apabila bingkas menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma diambil Endrick yang cuba ditanduk Cools sebelum bola terkena kepala Valery Kichin untuk menerjah ke pintu gol Kyrgyzstan.
Penguasaan permainan jelas di dominasi Kyrgyzstan sebaik bersambung babak kedua yang membina rantaian serangan berbahaya tetapi komunikasi baik antara benteng pertahanan dan Azri menyelamatkan daripada terus dibocori buat kali kedua.
Kemasukan Safawi Rasid, Haqimi Azim Rosli dan Declan Lambert pada penghujung babak tidak banyak mengubah tempo permainan sehinggalah tiupan wisel penamat.
Satu mata dicuri di bumi Bishkek membuka sedikit kesempatan buat pasukan kebangsaan mengintai sisa harapan ke pusingan ketiga kelayakan sambil harus bekerja keras perlawanan keenam.
Harimau Malaya yang kini meraih tujuh mata akan turun menentang Chinese Taipei pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.