PEMAIN naturalisasi negara, Sergio Aguero mendedahkan bahawa pasukan negara berada dalam landasan yang tepat untuk terus meningkat naik.
Menurut beliau, skuad kendalian Kim Pan-gon menunjukkan banyak kemajuan sejak pasukan kebangsaan di bawah kendalian pengendali dari Korea Selatan itu pada 2022 meskipun gagal untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Tambahnya, terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan ketika terkandas di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang perlu diatasi segera untuk bangkit menempah tiket ke Piala Asia 2027 pula.
“Ia adalah pengalaman yang baik untuk pasukan menemui prestasi semasa kami dan mengenal pasti perkara yang perlu kami perbaiki pada masa hadapan.
“Kami mempunyai kempen yang sangat baik. Walaupun beberapa pasukan layak (pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia) dengan meraih tujuh atau lapan mata, tetapi kita tidak berjaya biarpun mengumpul 10 mata.
“Tetapi prestasi pasukan menunjukkan bahawa pasukan negara menunjukkan banyak kemajuan dan mempunyai potensi yang meningkat naik,” katanya ketika ditemubual bersama Fifa.
Pada pusingan kedua kelayakan sebelum ini, Malaysia sekadar menamatkan kedudukan Kumpulan D di tempat ketiga dengan 10 mata di belakang Oman dan Kyrgyzstan.
Walaupun misi ke Piala Dunia terhenti, namun pasukan negara masih memiliki tugasan besar untuk memastikan tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi tidak terlepas, dengan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 itu akan bermula tahun depan.
Ujarnya lagi, dia menanam tekad untuk memastikan slot ke Piala Asia itu tidak terlepas dari genggaman dengan dia mahu mencurahkan segala pengalaman buat pasukan kebangsaan.
“Saya meraih banyak pengalaman bermain di Argentina, Itali, Hungary dan Malaysia. Semoga pada masa hadapan saya dapat membantu negara yang saya raih bersama pemain, jurulatih dan pegawai yang pernah beraksi atau menjadi sebahagian di Piala Dunia,” katanya.