SKUAD Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila diberikan kemudahan padang latihan yang baik dan lengkap bagi menjalani latihan menjelang aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat, Oman.

Kredit perlu diberikan kepada pihak tuan rumah, Oman FA yang berjaya memberikan fasiliti latihan yang baik dan mudah diakses oleh pasukan pelawat.

Harimau Malaya diberikan kemudahan stadium di daerah Al Khoud berhampiran Universiti Sultan Qaboos yang mempunyai padang yang cantik dan dilengkapi lampu limpah, sistem pengairan padang, bilik persalinan dan tandas untuk keselesaan buat para pemain.

Stadium mini yang menjadi pusat latihan Harimau Malaya di Muscat

Tambah menarik, stadium mini ini terletak di kawasan kuarters kediaman pekerja Istana Besar Oman dan ianya dijaga rapi selepas dirasmikan pada 2001 oleh Almarhum Sultan Qaboos.

Barisan kejurulatihan juga berpuas hati dengan keadaan padang yang dapat mengurangkan risiko kecederaan buat para pemain sekaligus menjadikan sesi latihan berjalan lancar mengikut arahan taktikal yang diberikan.

Berkapasiti hampir 1,000 orang dengan dua kawasan tempat duduk penyokong, ianya adalah sebuah stadium mini yang cantik dan praktikal untuk latihan bola sepak buat Harimau Malaya dengan jarak tempuh hampir 20 minit dari hotel penginapan.

Kawasan tempat duduk utama yang dilengkapi bilik persalinan dan tandas

Harimau Malaya akan menggunakan fasiliti ini selama tiga hari dan diharap dapat memberikan kecergasan optimum buat pemain sebelum sesi latihan rasmi akan diadakan di venue pertandingan, Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Rabu.