KEGUGUPAN pemain Harimau Malaya yang pertama kali beraksi di pentas tertinggi Piala Asia 2023 dihukum Jordan apabila kalah mudah 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Al Janoub, sebentar tadi.

Skuad kendalian Kim Pan-gon menurunkan barisan terbaik dengan meletakkan Dion Cools, Stuart Wilkin, Faisal Halim serta Arif Aiman Hanapi di dalam kesebelasan utama.

Tempoh 20 minit awal memperlihatkan penguasaan penuh Jordan sehingga memperoleh dua gol. Bekas pemain import Kedah Darul Aman FC, Mahmoud Al-Mardi yang menerima hantaran di sebelah kanan merembat kencang untuk membuka jaringan pertama.

Gol kedua hadir menerusi sepakan penalti m-18 selepas Yazan Al-Naimat dijatuhkan oleh Matthew Davies dan Musa Al-Taamari memilih merembat bola ke penjuru kiri.

Kelemahan komunikasi di benteng pertahanan negara sekali lagi dapat dihidu dan diperkotak-katikkan pemain Jordan menyebabkan pintu gol dikemudi Syihan Hazmi terus bocor.

Gerakan menarik Al-Naimat yang melorongkan hantaran cantik disudahi Mardi ke sudut kanan untuk menjaringkan gol ketiga Jordan.

Malaysia enggan mengalah mendapatkan jaringan semangat apabila percubaan Morales m-40 dan Wilkin di masa tambahan sedikit tersasar dari gawang.

Pertukaran pemain terpaksa dilakukan Pan-gon selepas Malaysia ketinggalan 3-0 tetapi keampunan barisan pertahanan lawan menyukarkan mengatur serangan ke kubu Jordan.

Sebaliknya, Jordan lebih ghairah menyusun permainan dan sesekali melancarkan serangan kilat ke arah kawasan negara.

Pemain gantian, Paulo Josue nyaris mendapatkan gol sagu hati, namun sepakan deras dalam jarak dekat di tampan Yazid Abu Layla sebelum sepakan kaki kiri Safawi Rasid juga dinafikan pada m-81 dan m-82.

Al-Taamari, pemain sayap untuk kelab Montpellier menamatkan sisa Harimau Malaya dengan melakukan chip pada penghujung perlawanan.

Malaysia yang berada di kedudukan tercorot perlu meraih kemenangan menjelang aksi kedua bagi menghidupkan peluang bersaing merebut slot Pusingan 16 menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E yang berlangsung sebelah petang, Korea Selatan tiada masalah menumpaskan Bahrain, 3-1.