PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim Rosli, terpaksa melupakan aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea gara-gara masalah kesihatan.
Pengguguran pemain berusia 20 tahun itu dari kem Harimau Malaya disahkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang menjelaskan ketiadaan Haqimi Azim pada sesi latihan sulung, hari ini.
“Kami menunggu kehadirannya (Haqimi) sehingga semalam namun dia terpaksa diketepikan untuk dua perlawanan persahabatan ini kerana mengalami demam.
“Kecuali Haqimi, semua pemain yang dipanggil berada dalam keadaan terbaik cuma pemain Terengganu FC (TFC) dan beberapa dari Johor Darul Ta’zim (JDT) belum melapor diri,” katanya.
Pan-gon ditemui FLASH SUKAN ketika sesi latihan pasukan kebangsaan yang disertai 14 pemain antaranya Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Lee Tuck, Faisal Abdul Halim dan Paulo Josue.
Turut memperkuatkan skuad Harimau Malaya kali ini adalah Junior Eldstal, Mukhairi Ajmal Mahadi, Daniel Ting, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos dan penjaga gol, Azri Abd. Ghani.
Bagaimanapun, kelibat penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri Fauzi dan pemain muda berpengkalan di Finland, Nooa Laine difahamkan akan tiba dalam masa terdekat.
Menurut Pan-gon lagi, dia mahu menjadikan dua perlawanan antarabangsa Tier 1 itu sebagai pentas untuk terus membaiki ranking Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-138 dunia.
“Pertemuan dengan dua negara Oceania ini sedikit berbeza dan mencabar bagi kita kerana pasukan itu memiliki kelebihan fizikal, jadi ianya ujian yang baik untuk Malaysia.
“Saya ingin melihat bagaimana pemain-pemain boleh mengawal permainan selain meneruskan momentum kemenangan di gelanggang sendiri untuk meningkatkan ranking FIFA.
“Kami juga mahu memenangi dua perlawanan di Terengganu kerana ini kali pertama Malaysia beraksi di sini dan berharap dapat menampilkan persembahan terbaik,” katanya.