SKUAD Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon dilihat bakal berhadapan tugas yang cukup berat pada dua aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei apabila dilanda krisis kecederaan pemain utama.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula 27 Mei ini sebelum aksi di Bishkek pada 6 Jun dan di Bukit Jalil pada 11 Jun dan dua nama besar, Arif Aiman dan Faisal Halim tidak disenaraikan ekoran kecederaan.
Arif Aiman difahamkan mengalami masalah kecederaan buku lali sebelum permulaan Liga Super manakala satu dunia sudah mengetahui nasib malang yang melanda Faisal Halim akibat disimbah asid awal bulan ini.
Senarai 26 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya (Mei & Jun 2024)
Ia bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz & Chinese Taipei.
▶️ Baca penuh di https://t.co/MbeZEHTDfZ#FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/5i5Rg5qg6O
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 23, 2024
Berdasarkan senarai itu, Pan-gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain dari skuad ketika menentang Oman Mac lalu dan pengendali Republik Korea itu juga terpaksa melupakan khidmat Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Sementara itu seramai lapan pemain baharu tersenarai iaitu Kalamullah Al-Hafiz, Adib Ra’op, Feroz Baharudin, Declan Lambert, Syafiq Ahmad dan Engku Shakir Engku Yacob sekaligus menjadikan skuad kali ini lebih variasi dengan melibatkan lapan kelab.
Johor Darul Ta’zim diwakili enam pemain dengan lima pemain dari Kuala Lumpur City FC, empat masing-masing dari Sabah FC dan Terengganu FC, tiga dari Penang FC, dua dari Kedah Darul Aman FC manakala masing-masing satu dari Selangor FC dan Buriram United.
Seramai 22 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat kecederaan atau perubahan daripada senarai 26 pemain itu.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.