SKUAD Harimau Malaya berada di ranking ke-132 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hari ini.

Kedudukan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon jatuh dua anak tangga apabila sebelum ini berada pada tangga ke-130 dunia pada kemas kini 21 Disember lalu.

Kem negara kini menghimpun 1,110.17  mata berbanding 1,122.87 mata sebelum ini.

Penurunan ranking itu sudah dapat dijangka selepas skuad negara tewas dua perlawanan dan mencatatkan satu seri dalam aksi Piala Asia di Doha, Qatar bulan lepas.

Dalam aksi Kumpulan E itu, Malaysia kalah aksi pembukaan kepada Jordan 0-4, kemudian tewas sekali lagi kepada Bahrain 0-1.

Namun, keputusan seri 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan sedikit sebanyak menyelamatkan ranking skuad negara daripada jatuh teruk.

Malaysia berpeluang memperbaiki kedudukan jika berjaya sekurang-kurangnya meraih mata dan mencatat kemenangan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Oman di laman lawan dan aksi tempat sendiri pada 23 dan 26 Mac 2024.

Pengiraan ranking seterusnya akan dikeluarkan pada 4 April depan.