BEKAS penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali menganggap skuad Harimau Malaya masih memerlukan penyerang tulen meskipun berjaya memenangi dua perlawanan persahabatan antarabangsa tanpa penyerang utama dalam kesebelasan utama.

Safee yang menjadi watak penting kejayaan skuad kebangsaan meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 bagaimanapun gembira dengan kombinasi serangan pasukan kendalian Kim Pan-gon terutama dua pemain sayap lincah, Arif Aiman dan Faisal Halim.

“Ini adalah satu persembahan yang baik daripada skuad kebangsaan dan ia membuktikan pemain kita mampu jaringkan gol dan bermain dengan kombinasi yang baik.

“Apa yang paling penting, mereka dapat kemenangan untuk naikkan semangat dan motivasi pasukan untuk menghadapi kejohanan sebenar dan saya juga harap lepas ini dengan motivasi yang ada, mereka akan bawa pada perlawanan yang lebih sukar.

“Kombinasi pemain memang penting tetapi dalam bola sepak moden pun jika kita lihat, Pep Guardiola masih menggunakan Erling Haaland sebagai pemain nombor sembilan dalam pasukan.

“Kita boleh jaringkan 14 gol tetapi masih ada rasa kekurangan kerana kita perlukan pemain nombor sembilan dalam kotak penalti kerana kita mempunyai pemain sayap yang berkualiti.

“Penyerang utama ini diperlukan kerana dia akan membahayakan pemain lawan dan membuka ruang kepada pemain sayap untuk menyerang,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Olimpik 2023 MOM-KPM di Bukit Jalil.

Dalam perkembangan yang sama, Safee yang juga Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata majoriti pemain Kelantan FC yang mempunyai masalah pembayaran gaji sudah membuat laporan kepada pihak mereka dan tindakan selanjutnya akan diambil.

“Kami memang ada menerima laporan dari pemain Kelantan FC dan kita sudah adakan perbincangan dengan pihak peguam pasukan selain mereka juga sudah dikenakan ‘transfer ban’ pada jendela perpindahan kedua ini.

“Mereka juga tidak dibenarkan meminjam pemain kerana kita tidak mahu masalah hutang ini bertambah dan menyelamatkan pemain dan pasukan ini,” katanya.