SKUAD Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk memaksa Syria seri 2-2 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium East-Town Football Park, Chengdu China, sebentar tadi.
Kredit 200 peratus kepada skuad kebangsaan yang mempamerkan aksi cukup bersemangat sehingga ke akhir permainan hasil keputusan positif ini.
Turun dengan formasi 4-3-3, Malaysia kelihatan mempamerkan aksi melawan sebaik sahaja wisel ditiup namun gagal mencipta peluang untuk menguji penjaga gol Syria, Ahmad Madanieh.
Sebaliknya, skuad The Qasioun Eagles memperolehi gol pembukaan melalui pemain berpengalaman, Mardik Mardikian pada minit ke-12 gara-gara kesilapan Brendan Gan yang terlepas kawalan bola.
Pasukan negara berpeluang menguji gawang lawan menerusi percubaan Arif Aiman dan Faisal Halim namun gagal menemui sasaran.
Kealpaan pertahanan negara terus dihukum apabila giliran Yassin Samia menanduk gol kedua Syria pada m-41 untuk kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, pengendali negara Kim Pan-gon melakukan tiga pertukaran dengan memasukan Akhyar Rashid, Sharul Nazeem dan Junior Eldstal menggantikan Shahrul Saad, Arif Aiman dan Brendan bagi menambah tenaga baharu dalam pasukan.
Taktikal itu menjadi apabila penyerang Johor Darul Ta’zim, Akhyar berjaya merapatkan jurang gol dengan menolak masuk gol pertama m-51 selepas menerima hantaran lintang jauh dari kawasan sendiri.
Tekanan terus diberikan Malaysia ke atas pasukan yang berada di ranking ke-94 dunia, apabila melancarkan serangan dan gaya permainan menarik ke kubu lawan tetapi masih gagal mengikat kedudukan.
Akhirnya, seorang lagi pemain gantian, Darren Lok berjaya menyelamatkan skuad negara daripada dipalit kekalahan apabila menyambar bola yang gagal ditampan kemas penjaga gawang lawan selepas percubaan Safawi jatuh betul-betul dihadapannya pada penghujung permainan menerjah jaring.
Sebagai rekod Malaysia pernah bertemu Syria sebanyak enam kali sejak 1978 dan ini kali pertama perlawanan kedua-kedua pasukan terikat seri.
Statistik menunjukkan Malaysia mengutip mata berdepan pasukan Asia Barat selepas 18 perlawanan dengan kali terakhir adalah pada 2014 ketika bertemu Yaman. Malaysia kini memperoleh 1.4 mata ranking Fifa.
China yang berada di ranking 80 dunia akan menjadi lawan terakhir dihadapi Malaysia dalam kunjungan di Chengdu pada Sabtu ini.