BEK kiri Sabah FC, Daniel Ting dipanggil ke kem latihan pasukan kebangsaan untuk membuat persiapan sebelum menghadapi dua perlawanan Kelayakan Asia Piala Dunia FIFA 2026 Pusingan 2, sepanjang November ini.
Menurut pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, Daniel menggantikan Azam Azmi Murad dari Terengganu FC yang hadir melapor diri, Jumaat lalu tetapi terpaksa dilepaskan, semalam selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kebimbangan kecederaan pada lututnya.
“Dengan ketiadaan Azam, posisi pertahanan kanan akan diisi oleh Matthew Davies dan Syahmi Safari yang mana Syahmi sebelum ini dipersiapkan untuk bersama-sama La’Vere Corbin-Ong di posisi pertahanan kiri.
“Semoga Azam cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Daniel Ting Tersenarai Ke Latihan Pusat Harimau Malaya
▶️ Baca penuh di https://t.co/FxAJnZQ1if#FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/LJB8HakrIy
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 12, 2023
Ini bermakna, Daniel dijangka merebut tempat untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan masing-masing pada 16 dan 21 November ini.
Ketika aksi persahabatan di Terengganu pada 20 Jun lepas, Daniel masuk pada babak kedua untuk membantu Malaysia menang besar ke atas Papua New Guinea, 10-0.