HARIMAU Malaya perlu tampil lebih garang berdepan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Mitsubishi 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa ini.

Singapura  kini berkongsi tujuh mata dengan Vietnam yang unggul ditempat pertama hanya memerlukan keputusan seri untuk berada dalam kedudukan dua terbaik peringkat kumpulan dan layak ke peringkat separuh akhir.

Gesaan ini disuarakan pemain naturalisasi negara, Lee Tuck yang percaya rakan sepasukannya berupaya menembusi benteng pertahanan Singapura dan menjaringkan gol walaupun lawan mungkin memilih corak permainan bertahan.

“Saya fikir taktik perlawanan itu nanti adalah sama iaitu bertahan kerana mereka hanya perlu seri untuk mendapatkan satu mata. Jadi kami perlu mencari kaedah untuk memecahkan benteng mereka.

“Bukannya mudah, tetapi seperti yang saya kata sebelum ini, saya rasa kami mempunyai kualiti dan kami telah mempamerkan keupayaan untuk menjaringkan gol di dalam kejohanan ini.

“Kami perlu memenangi perlawanan ini,” tegasnya penuh keyakinan pasukan mampu menewaskan Singapura.

Myanmar yang akan bertandang ke Stadium My Dinh di Hanoi untuk bertemu Vietnam pada Selasa ini, kekal di tangga keempat kumpulan dengan satu mata sementara Laos mengakhiri kempen mereka di tangga tercorot tanpa sebarang mata.