SKUAD Harimau Malaya bakal berhadapan Syria dalam aksi ujian di Doha, Qatar pada Isnin sebagai persiapan terakhir skuad kebangsaan sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan pada 15 Januari.
Syria bukanlah lawan yang asing buat pasukan kendalian Kim Pan-gon apabila kedua-dua pasukan bertemu di China dalam aksi persahabatan ketika kalendar antarabangsa Fifa pada September 2023 yang menyaksikan Malaysia bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mencatat keputusan seri 2-2.
Namun kali ini, Syria tampil dengan pasukan yang berbeza di pentas Piala Asia apabila diperkuatkan dengan empat pemain naturalisasi dari Amerika Selatan – tiga dari Argentina dan satu dari Colombia sekaligus perlu diawasi barisan pemain negara.
Keempat-empat pemain itu mempunyai pengalaman yang cukup luas di peringkat kelab dan pengalaman ini pastinya dituntut jurulatih Syria untuk menewaskan Malaysia sekaligus membina keyakinan menjelang kejohanan sebenar.
Salah seorang pemain naturalisasi Syria dari Argentina sudahpun disahkan menyertai Johor Darul Ta’zim, Jalil Elias dan pemain tengah bertahan ini sudah pasti mahu menunjukkan kepada rakan-rakan kelab barunya tentang kualiti yang ada pada dirinya.
Dua lagi pemain asal Argentina yang dinaturalisasikan oleh Syria adalah Ezequeil Ham dan Ibrahim Hesar manakala seorang lagi dari Colombia, Pablo Sabbag.
Kehadiran empat pemain ini sudah pasti akan menambah kekuatan pasukan Syria dan Harimau Malaya perlu berhati-hati dalam aksi persahabatan ini bagi memastikan momentum yang baik menjelang aksi pembukaan.
Kekuatan gandingan Elias, Ham, Hesar dan Sabbag pastinya sudah dikenalpasti oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya dan para pemain perlu bermain mengikut arahan taktikan jika mahu mencatat kemenangan.
Syria yang berada di ranking ke-91 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Australia, Uzbekistan dan India manakala Malaysia pula diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.