HARIMAU Malaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Turkmenistan aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.
Gol tunggal skuad kebangsaan dihasilkan menerusi bintang sayap kelab Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid pada m-28.
Tidak banyak percubaan sepanjang 15 minit awal dari kedua-dua pasukan dengan masing-masing mengatur rentak sambil berbalas hantaran.
Peluang hadir buat Malaysia selepas mendapat sepakan percuma luar kotak tetapi sepakan diambil kapten pasukan, Dion Cools m-25 ditepis Charyyev Rasul.
Bersambung babak kedua, Durdyyev Didar yang menerima bola hantaran lintang dari sebelah kanan berjaya menanduk ke belakang gawang negara namun tepat ke dakapan Syihan Hazmi.
Tiga minit kemudian, Akhyar nyaris menambah koleksi gol peribadi kedua malam ini tetapi kali ini penjaga gawang Turkmenistan lebih bersedia.
Perlawanan ini turut menyaksikan lima pemain negara melakukan debut iaitu, Endrick Santos, Paulo Josue, Fayadh Zulkifli Amin dan Nooa Laine serta Feroz Baharudin.
Perlawanan dihadapan 5,104 penyokong setia Harimau Malaya ini juga merupakan kemenangan kedua Kim Pan-gon ke atas skuad Karakum Warrior, selepas membenam lawan sama di pentas pusingan kelayakan Piala Asia 2023 Jun tahun lepas.
PERSAHABATAN ANTARABANGSA 2023
FT: Malaysia 🇲🇾 1-0 🇹🇲 Turkmenistan
⚽ Akhyar Rashid 28'#HarimauMalaya#KarakumWarrior pic.twitter.com/n2JRPDQb8J
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 23, 2023
Malaysia turut berjaya menambah sebanyak 5.27 mata Fifa hasil kemenangan menewaskan Turkmenistan dan mengumpul 1077.26 mata serta berpotensi untuk melonjak dua anak tangga, berada di ranking ke-140 dunia.
Pencapaian terbaik negara adalah menduduki ranking ke-75 dunia pada 1993 manakala rekod terburuk pula adalah ketika berada di tangga ke-176 dunia pada 2018.
Malaysia akan bertemu Hong Kong aksi kedua persahabatan Tier 1 pada Selasa ini yang sekadar melakar keputusan seri 1-1 berdepan Singapura di Stadium Mong Kok.