SKUAD Harimau Malaya tidak pulang tangan kosong selepas mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi penuh rancak saingan terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha pada Khamis.
Pasukan ranking 23 dunia itu jelas dalam kelas tersendiri dan Malaysia mengalami kesukaran menembusi benteng pertahanan lawan menerusi gandingan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Penyerang sensasi Tottenham Hotspur, Son Heung-min nyaris membuka gol awal untuk negaranya dalam edisi kali ini namun rembatan ke arah gawang segera diselamatkan oleh Syihan Hazmi dengan tangan kanannya.
Taegeuk Warriors seterusnya memperoleh sepakan sudut berturut-turut, tetapi mampu ditangani baik pemain Malaysia.
Gol ! Woo-Yeong Jeong memberi Korea Selatan pendahuluan hasil sepakan sudut di sebelah kiri. Bola ditanduk masuk dan Woo-Yeong melompat untuk menewaskan Syihan.
Pada awalnya, Syihan melakukannya dengan sangat baik untuk menguis keluar, tetapi video bantuan pengadil (VAR) menunjukkan bola telah melepasi garisan.
Bersambung babak kedua, corak permainan Malaysia sudah berubah. Faisal Halim menjaringkan gol penyamaan untuk Malaysia m-51 hasil gerakan menarik dimulakan Darren Lok yang memenangi bola dari kawalan Hwang In-Beom sebelum Arif membuat lorongan kepada Faisal untuk mencipta jaringan bersejarah di edisi kali ni.
Bagaikan mendapat tonik, Harimau Malaya terus menggila di hadapan kira-kira 30,117 penonton. Semakan VAR m-61 membenarkan sepakan penalti diberikan kepada Malaya dan Arif langsung tidak mensia-siakan peluang terhidang depan mata untuk jaringan sulung di Piala Asia 2023.
Hajat anak buah Kim Pan-gon melakar kejutan terbesar ke atas Korea Selatan seakan berkecai selepas sepakan percuma cantik kaki kiri Lee Kang-In menuju tepat ke arah gawang m-83 untuk kedudukan seimbang 2-2.
Kesilapan benteng pertahanan Malaysia mengasari lawan dihukum pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti dan Son mudah menolak masuk gol ketiga Korea m-90’+4.
Namun, keaiban berlaku apabila pemain gantian, Romel Morales menyumbat jaringan klinikal pada minit 90’+15 untuk menceriakan penyokong Harimau Malaya di stadium.
FT | 🇰🇷 Korea Republic 3️⃣-3️⃣ Malaysia 🇲🇾
😱 What. A. Game!
🤝 The points are shared after an enthralling encounter at Al Janoub Stadium! #AsianCup2023 | #HayyaAsia | #KORvMAS pic.twitter.com/mlmotDoR0m
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) January 25, 2024
Sebelum Piala Asia, Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon mencatatkan 18 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan daripada keseluruhan 27 perlawanan dalam semua pertandingan.
Malaysia juga berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan mereka kini mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0, November lalu.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac dan menjadi tuan rumah kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan pada 11 Jun depan.