SKUAD Harimau Malaya kendalian menamatkan cabaran di Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Thailand 3-1 menerusi agregat.

Ianya masih dianggap pencapaian yang membanggakan oleh barisan muka-muka baharu skuad kebangsaan dan berjaya menambah lima lagi mata ranking dan berjaya melonjak tiga kedudukan dalam ranking dunia Fifa.

Hasil tinjauan FLASH SUKAN di laman Twitter Footy Rankings, kejayaan Malaysia layak ke separuh akhir kali ini memberikan signifikasi yang positif pada posisi Harimau Malaya dalam ranking dunia Fifa.

 

Malaysia berjaya menambah 5.22 mata dari enam perlawanan dan kini mengumpul mata ranking sebanyak 1074.02 sekaligus berada di ranking 142 ketika ini dengan kemaskini terbaharu hanya akan dilakukan Fifa pada Mac 2033.

Semua pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan Kim Pan-gon serta barisan kejurulatihan sudah boleh mula meletakkan fokus kepada siapa lawan yang mereka mahukan pada perlawanan persahabatan yang akan diadakan mengikut kalendar antarabangsa Fifa.

Terdapat lima jadual antarabangsa Fifa dan dengan setiap jendela membenarkan mana-mana skuad kebangsaan untuk bermain dua perlawanan persahabatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh merangka sepuluh pasukan lawan yang sesuai untuk bertemu.

Sepuluh perlawanan ini sangat penting kerana sebarang keputusan positif akan mampu menaikkan ranking Harimau Malaya ke kedudukan yang lebih baik sekaligus memberikan slot yang lebih baik untuk undian Piala Asia nanti.

Tambah menarik, kesemua kelab perlu melepaskan pemain terbaik yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kerana kesemua perlawanan yang berlangsung adalah di dalam kalendar antarabangsa Fifa.

Kim Pan-gon kini mempunyai masalah yang baik kerana dia sudah mempunyai ‘pool’ pemain yang lebih besar dan sudah dapat mengenalpasti dua barisan Harimau Malaya yang mempunyai kekuatan setara antara skuad utama dan pemain simpanan.

Berikut adalah jadual perlawanan mengikut kalendar antarabangsa Fifa bagi tahun 2023:

1. 20 hingga 28 Mac 2033

2. 12 hingga 20 Jun 2023

3. 4 hingga 12 September 2023

4. 9 hingga 17 Oktober 2023

5. 13 hingga 21 November 2023