PASUKAN bola sepak Malaysia berada dalam kelompok ‘The Best Climbers’ bersama tiga lagi negara lain susulan berjaya memperbaiki ranking FIFA yang kini berada di tempat ke-147 dunia.
Skuad Harimau Malaya menunjukkan peningkatan baik dalam kedudukan ranking bersama Greece (48), Cuba (167) dan Kazakhstan yang mengumpul 11 mata untuk naik ke ranking 114 dunia.
Manakala skuad kebangsaan yang dibimbing Kim Pan-gon mengumpul tujuh mata keseluruhan melalui dua perlawanan persahabatan antarabangsa (Brunei dan Hong Kong) serta dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Bangladesh ketika aksi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 minggu lalu.
Dengan tujuh mata yang dikumpul itu, Malaysia berjaya mengubah kedudukan dari 154 kepada 147 dunia.
Perkara tersebut dikongsi menerusi laman media rasmi FIFA yang turut mengumumkan 10 pasukan terbaik dunia iaitu Brazil di ranking pertama, diikuti Belgium, Argentina, Perancis, England, Sepanyol, Itali, Netherland, Portugal dan di tangga kesepuluh dunia, Denmark.
Menurut HarimauMystats, kali terakhir skuad kebangsaan berada dalam kelompok 140-149 dunia adalah Februari 2010.