PEMINAT bola sepak di pantai timur tidak perlu mengembara ratusan kilometer melihat aksi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa, apabila skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi dua perlawanan Tier 1 di Kuala Terengganu Jun ini.

Berita gembira itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang memberitahu aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

“Saya mahu umumkan dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman pada Jun nanti akan berlangsung di Kuala Terengganu.

“Ini bagi memberi ruang kepada peminat di pantai timur memberi sokongan kepada skuad kebangsaan di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ketua kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024 di  Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Yaman Jun depan akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. -Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Untuk rekod, anak didik Kim Pan-gon berpeluang menguji Kepulauan Solomon yang berada di ranking ke-136 dunia dan Yaman (154) sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.

Malah, aksi itu juga menjadi medan untuk skuad kebangsaan memperbaiki ranking ke kedudukan lebih baik berbanding kedudukan ke-138 dunia ketika ini.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini mengharungi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada 23 Mac sebelum berdepan Hong Kong bagi aksi kedua 28 Mac lalu dengan kedua-duanya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Aksi persahabatan itu adalah sebahagian daripada persiapan skuad kendalian Pan-gon untuk menghadapi Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari tahun depan.