HARIMAU Malaya bakal menghadapi satu cabaran menarik apabila dijadualkan bertemu India dalam perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada 19 November 2024.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa pasukan kebangsaan akan terbang ke India untuk aksi ini, yang dijadualkan berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.

Walau bagaimanapun, butiran lanjut mengenai lokasi dan waktu perlawanan masih belum dimuktamadkan, dan akan diumumkan oleh tuan rumah, Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), dalam waktu terdekat.

Ini menandakan satu peluang yang baik bagi skuad Harimau Malaya untuk menguji kekuatan mereka di pentas antarabangsa dan memperbaiki kedudukan ranking FIFA mereka.

Kali terakhir Harimau Malaya berdepan India adalah pada 13 Oktober 2023, dalam perlawanan Pestabola Merdeka, di mana pasukan bimbingan Kim Pan Gon meraih kemenangan 4-2 di Bukit Jalil hasil jaringan Dion Cools, Faisal Halim, Arif Aiman dan Corbin Ong.

Perlawanan ini bukan sahaja menambah keyakinan kepada pemain, tetapi juga membuktikan bahawa Harimau Malaya mampu bersaing dengan pasukan yang lebih tinggi dalam ranking.

Malaysia mempunyai pengalaman bertemu skuad Blue Tigers, termasuk dua perlawanan persahabatan yang diadakan pada tahun 2011.

Ketika itu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal mencatat keputusan seri 1-1 di Guwahati sebelum tewas 3-2 di Kolkata.

Ranking semasa FIFA yang menyaksikan India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, enam anak tangga di atas Malaysia di tempat ke-132, perlawanan ini menjadi platform penting bagi Harimau Malaya untuk meningkatkan prestasi dan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan mengesahkan satu lagi lawan dalam tempoh yang sama, menandakan persiapan yang lebih rapi untuk menempuh cabaran mendatang. 

Harimau Malaya perlu mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan tier 1 pada bulan Oktober dan November, untuk mempunyai peluang yang lebih cerah untuk  menduduki dalam Pot 1 dalam kelayakkan Piala Asia 2027.

Malaysia wajib memintas India dalam kedudukan Ranking semasa untuk menduduki dalam Pot 1.

Dengan semangat juang yang tinggi Harimau Malaya bersedia untuk mempamerkan aksi yang terbaik di bumi India kelak.