KISAH disebalik tabir melibatkan skuad Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih pada Januari 2022 dan bermulanya era Kim Pan-gon hingga layak ke Piala Asia 2023 kini dibawa ke layar perak menerusi filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Filem arahan Datuk Afdlin Shauki itu akan membentuk penceritaan dari empat naratif berbeza yang pada akhirnya akan menjadi penentu kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

Kisah pertama akan memaparkan sudut pandang daripada badan pengurusan bola sepak negara — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala sudut pandang kedua pula mengambil kira perspektif dari kerusi panas iaitu ketua jurulatih.

Sophia Albarakbah sebagai salah seorang pelakon utama filem Harimau Malaya: Untold Journey

Naratif ketiga dalam filem ini pula akan melihat kepada para pemain Harimau Malaya itu sendiri dan penglibatan tiga sahabat penyokong yang telah disenaraihitam daripada menghadiri perlawanan bola sepak di stadium selama setahun bakal menjadi naratif keempat sebuah kisah berdurasi 120 minit itu.

Keempat-empat perspektif ini kemudiannya akan bertemu di klimaks ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Malaysia menumpaskan Bangladesh untuk mencipta memori indah bersama para penyokong.

Filem yang bakal menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang ini dibarisi pelakon-pelakon terkenal seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.