PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa pasukan Harimau Selatan antara faktor utama nilai komersial industri bola sepak di Malaysia meningkat.

Beliau berkata, fakta itu sukar untuk disangkal hasil sejumlah kejayaan yang telah dibuktikan juara sembilan kali Liga Super itu di pentas domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

“Tiada JDT tiada liga, tiada duit untuk hak penyiaran buat pasukan, tiada penuhkan stadium pasukan lain, tiada fasiliti terbaik buat pasukan kebangsaan, tiada kelab Malaysia di Liga Juara-Juara Asia dan tiada berita”.

“JDT mengukuhkan nilai komersial industri bola sepak Malaysia. Fakta,” kata Tunku Ismail di laman Instagram rasmi kelab, officialjohor pada Isnin.

Komen Tunku Ismail itu hadir selepas merujuk artikel FLASH SUKAN bertajuk ‘Perlawanan libatkan JDT ungguli rating tontonan di semua platform Astro’ yang kemudian dikongsikan dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Laporan portal ini mendedahkan rating-rating di semua platform Astro adalah bukti bahawa perlawanan melibatkan JDT sentiasa mendapat perhatian ramai kerana corak permainan yang menarik ditunjukkan anak-anak buah Esteban Solari selain kehadiran pemain-pemain bintang dalam skuad Harimau Selatan.

Perlawanan melibatkan JDT bukan sahaja mendapat perhatian menerusi siaran langsung tetapi turut menarik perhatian penyokong ke stadium apabila lebih 56,000 penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dalam dua perlawanan dan hampir 37,000 penyokong di laman lawan dalam tiga perlawanan.

ARTIKEL BERKAITAN  : Perlawanan libatkan JDT ungguli rating tontonan di semua platform Astro