JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah membenam cabaran Kedah Darul Aman FC 6-0 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus mengukuhkan kedudukan di carta liga.
Meskipun turun tanpa ketua pasukan, Jordi Amat yang tercedera, Shane Lowry tidak berdepan masalah untuk membentuk barisan pertahanan yang kukuh bersama-sama Feroz Baharudin dan Matthew Davies.
Bagaikan harimau terluka selepas diikat PDRM FC dalam perlawanan liga sebelum ini, Harimau Selatan gah menguasai permainan dengan Bergson Da Silva meledak hatrik keduanya musim ini dalam Liga Super.
Bergson membuka tirai jaringan pada minit kelapan sebelum menjaringkan gol kedua pada penghujung babak kedua dan kemudiannya melengkapkan hatrik pada minit ke-65 untuk gol kesembilan peribadinya dalam liga.
Anak-anak buah Nafuzi Zain seakan hilang arah dengan segala percubaan mudah dipatahkan dan barisan pertahanan Sang Kenari yang kehilangan Rizal Ghazali begitu mudah ditembusi rangkaian serangan JDT.
Tiga gol pantas pada babak kedua oleh Feroz Baharudin, Murilo Santos dan Afiq Fazail melengkapkan malam gemilang skuad kendalian Hector Bidoglio yang sebelum ini menang 3-0 keatas lawan yang sama pada saingan separuh akhir Piala FA.
Arif Aiman juga dilihat sudah mendapat kembali sentuhan dengan larian dan gelecekan pantasnya cukup untuk menghiburkan lebih 15 ribu penyokong yang hadir ke stadium.
Kemenangan itu kembali meletakkan JDT selesa dengan 22 mata selepas lapan perlawanan manakala Kedah di tangga kelapan dengan tujuh mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.