SABAH FC mengesahkan telah menandatangani kontrak pemain import baharu dari Australia, Haris Stamboulidis bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-2025 yang bermula Mei depan.

Ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihak pengurusan Sabah FC berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Haris kerana mempunyai ciri-ciri pemain yang diperlukan bagi memperkukuhkan lagi pasukan.

Stamboulidis yang berusia 27 tahun itu adalah pemain yang versatil yang mampu bermain di beberapa posisi seperti pertahanan tengah atau pemain tengah bertahan dan pastinya menjadi kekuatan tambahan buat The Rhinos.

Haris Stamboulidis diumumkan import baharu Sabah FC

Kim Swee juga mengesahkan yang Sabah FC masih mempunyai satu lagi slot untuk pemain import namun ianya hanya akan diisi sekiranya pihak pengurusan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Kita akan bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan pihak pengurusan Sabah FC, jika mengizinkan kita akan menilai pemain import yang berkualiti untuk mengisi slot kekosongan berkenaan.

“Memang terdapat keperluan untuk menambah slot kekosongan pemain import tersebut, namun faktor kewangan juga perlu diambil kira sebelum memutuskannya,” katanya.

Datuk Ong Kim Swee yakin dengan persiapan pramusim pasukan

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Kim Swee berkata, Sabah FC mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bermula 23 April ini di daerah Keningau serta menganjurkan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) dari 29 April hingga 5 Mei 2024.

“Sabah FC akan mengadakan ‘team building‘ di Keningau termasuk juga meneruskan beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk di Sandakan dan Tawau serta Piala Sabah Maju Jaya dengan tiga pasukan jemputan.

“Jadi dengan persiapan ini saya percaya kita berada pada landasan yang cukup baik untuk memulakan kempen Liga Super yang akan bermula menjelang pertengahan Mei depan,” jelasnya.