KAPTEN skuad Bawah 23 tahun kebangsaan, Harith Haiqal mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama di barisan pertahanan selepas dua aksi persahabatan menentang China di Hangzhou.
Skuad Malaysia mencatat satu kemenangan dan tewas pada aksi kedua.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan keputusan dua perlawanan ini serta kemasukan Juan Torres dan Shukor Adan banyak mengubah cara permainan dan pemain dilihat lebih selesa serta faham dengan arahan taktikal jurulatih.
“Bahagian pertahanan masih perlu diperbaiki kerana sedikit goyah dan jika perkara ini diatasi, saya percaya pasukan ini akan bertambah baik di masa akan datang,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Ditanya tentang lawan yang bakal dihadapi di Piala Asia B-23 nanti, Harith mahu semua pemain yakin dengan kekuatan pasukan dan sedia berhadapan dengan semua pasukan.
“Kita perlu yakin dengan semua pasukan yang bakal dihadapi kerana jika tidak yakin lebih baik kita menyerah sebelum berlawan dan jika kita yakin semua perkara akan berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu kita sedang dalam rangka persiapan ke Piala Asia B-23 tahun di Doha, Qatar pada Jun dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.