KETUA pasukan Lion City Sailors, Hariss Harun mahu dia dan rakan-rakan sepasukan menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman apabila berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kualiti yang ada pada juara Liga Super Malaysia sepuluh kali berturut-turut itu.
Hariss yang juga bekas pemain JDT itu turut menganggap Harimau Selatan berada di landasan yang tepat untuk menjadi lebih maju terutama dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC kerana mempunyai pengurusan yang baik serta semangat untuk lebih berjaya.
Lion City Sailors terpaksa menerima kekalahan 1-2 kepada JDT dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan namun Hariss berbangga dengan pasukannya yang dilihat mampu beri saingan kepada anak-anak buah Hector Bidoglio itu.
“Ini adalah pengalaman yang baik buat pasukan kami untuk berhadapan JDT sebagai antara kelab terbaik Asia Tenggara dan walaupun mereka berada pada satu tahap di atas dalam perlawanan ini, tetapi kami bangga kerana dapat berikan cabaran.
“JDT sememangnya semakin meningkat dan mereka berjaya memenangi liga untuk sepuluh tahun berturut-turut dan beraksi dengan konsisten di Liga Juara-Juara AFC kerana pengurusan mereka sentiasa lebih baik dari pasukan lain.
Mereka juga berada di landasan yang tepat dengan membawa pemain-pemain yang berkualiti ke dalam pasukan dan dalam masa yang sama mereka membangunkan pemain muda dan kini kesannya sudah mula dilihat,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus perlawanan.
Lion City Sailors akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 8 April untuk satu lagi perlawanan persahabatan dan Hariss sudah tidak sabar mahu kembali ke Iskandar Puteri dan dia bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan sekalipun yang diturunkan oleh JDT.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke Johor dan tidak pasti sama ada mereka akan turunkan barisan terbaik atau tidak kerana kebanyakan pemain mereka sangat berkualiti dan siapa pun yang diturunkan akan menjadi satu pasukan yang baik.
“Sudah tentu kami tidak sabar untuk menentang pasukan terbaik mereka kerana ianya akan menjadi pengalaman terbaik buat kami apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim,” jelasnya.
Skuad kendalian Aleksander Rankovic itu dalam rangka persiapan menhadapi musim baharu Liga Premier Singapura 2024-25 dan mahu menggunakan pengalaman bertemu JDT sebagai persediaan mengharungi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang akan bermula pada September 2024.