PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, enggan mendabik dada selepas melihat skuad kendaliannya terus gah dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan Liga Super.

Menurut jurulatih berasal Singapura itu, skuad Tok Gajah tidak boleh berasa selesa sebaliknya terus fokus dengan saingan liga menghampiri pusingan kedua bulan depan.

“Saya sudah pernah katakan (rekod) ini tidak akan bertahan lama kerana dalam bola sepak, kita tahu nasib saja tidak akan membantu pasukan sebaliknya harus bekerja keras.

“Menang kalah adalah adat permainan, jadi Sri Pahang tidak harus bersikap sambil lewa dengan pencapaian ini,” ujarnya selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 di tempat lawan, Jumaat malam.

Keputusan itu membantu Sri Pahang mengutip 22 mata hasil enam kemenangan dan empat kali seri dan hanya lima mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bercakap kepada FLASH SUKAN, Fandi menyifatkan persembahan ketika mengalahkan TFC adalah yang terbaik dipamerkan Sri Pahang sepanjang saingan liga.

Fandi berkata, anak-anak buahnya menunjukkan corak permainan agresif dan berdisiplin untuk mengekang serangan tuan rumah yang belum pernah tewas di laman sendiri.

“Saya bangga dengan pemain-pemain yang beraksi luar biasa cuma agak kesal kami seharusnya mendahului dua atau tiga gol dalam 15 minit pertama namun mensia-siakan peluang.

“Kami juga menukar kepada 5-3-2 untuk menutup ruang terutama bek kiri dan kanan TFC yang banyak melakukan hantaran-hantaran berbahaya di kawasan kami.

“Disiplin ketika bertahan dan ketangkasan Izham (Tarmizi Roslan) turut menjadi faktor kemenangan berharga Sri Pahang malam ini (semalam),” tambah legenda Singapura itu.